~ ya ALLAH jgn pisahkan ku dan dia ~

Jangan Pisahkan Kami
www.iLuvislam.com
oleh: zam_ir

Aku memandangnya. Sayu. Hambar. Lesu. Tanpa rasa. Dia masih seperti itu. Lama aku tinggalkannya. Sejak sebulan lalu. Kami tidak bertegur sapa. Tiada ucap cinta, tiada sentuhan, tiada belaian, tiada... segalanya seperti seolah-olah tidak pernah berlaku.

Aku jadi gelisah, sejak dua hari lalu, urusanku seringkali tertangguh, bermasalah dan tiada penyelesaian. Aku seperti kehilangan sesuatu. Wang? Cukup, malah lebih daripada mencukupi.Lapar? kenyang hingga melampau-lampau, sebut apa sahaja semuanya lalu. Sakit? Aku masih bisa berjalan, berlari, bergerak cergas seperti orang lain. Teman? Banyak teman-teman disisiku yang mengasihiku, ibu bapa yang memberi dorongan padaku.

Lantas apa? Aku ini kehilangan apa dalam hidupku? Aku jadi penasaran terus!!!

Suatu hari aku terpandangnya. Hasrat hati ingin menegur tetapi aku tiba-tiba jadi kaku. Malu, malu kerana aku telah meninggalkannya, malu kerana aku mengabaikannya, malu kerana aku tidak menyentuhnya, membelainya bahkan sudah lama dia tidak kusapa.


Lalu aku beranikan diri. Aku menyentuhnya. Tiba-tiba, hati jadi sayu. Jiwa jadi terharu. Fikiranku keliru. Saat jariku menyentuhnya, segalanya berubah. Lantas ia kucium. Kutatap wajahnya. Dia seakan tersenyum padaku. Aku hiba. Luluh jiwaku. Rasa pedih dan kehilangan mulai hilang sedikit demi sedikit. Kami saling berhadapan.

Aku mulakan bicaraku, sepatah demi sepatah. Dia seolah mendengar. Tuhan pun mendengar sama. Seluruh jasadku jadi menggeletar tiba-tiba katanya, "Setiap yang hidup pasti akan mati." Saat itu aku rasa seolah dia memberitahuku siapa aku sebenarnya.

Tambahnya, kata Tuhan, "Tidak aku ciptakan manusia kecuali untuk menyembahKu." Aku teringat sesuatu.

Aku pernah mendengar itu suatu masa dahulu. Ya, dia pernah mengatakan itu juga. Aku tatap ia lagi. Masih tidak puas. Ah rupanya ada sesuatu antara kami. Ada rindu yang tak berkesudahan. Ada cinta yang tak terungkap. Ada bicara seribu makna.

Lagi.. ada kasih yang masih tak terucap. Terus aku koreksi hati. Ini yang aku cari. Sebuah cinta tinggalan kekasih hati. Sebuah kitab yang tersimpan lama milik Tuhan untuk insan. Beribu bicara tuhan masih tersimpan. Selagi belum kiamat, ia akan terus dibela, dipelihara.

Ah hati mahu kamu rupanya Furqan, Kitaab, A-Zikr, atau nama panggilan biasa mu Al-Quran. Tuhan, jangan pisahkan kami!!! Jangan biarkan aku merana begini! Wahai hati, baliklah padanya. Walau sesibuk mana. Ia masih di situ. Menantimu. Sampai tiba waktumu..

0 comments: