Sejenak Bersama Dakwah
www.iLuvislam.com
al-aman
Editor: deynarashid
www.iLuvislam.com
al-aman
Editor: deynarashid
Bilakah kali terakhir dirimu menangis mengenangkan keadaan ummah ini?
Bilakah kali terakhir dirimu melihat seorang yg melakukan maksiat secara terang-terangan, lalu timbul rasa kasihan di hatimu lantas bermunajat kepada Allah untuk dirimu dan dirinya?
Lidah kita terlalu pantas melantunkan kata-kata kesat. Tangan kita terlalu ringan memukul dan menyakitkan. Kuasa yg ada digunakan semahu-mahunya. Semuanya dihalalkan atas nama dakwah.
Mengapa?
Tidak sepatutnya wahai pendakwah! Dakwah itu terlalu suci untuk dicemari sebegini rupa.
Islam ruh dan jasad
Untuk mengislahkan ummah, kita perlu kembali kepada Islam dengan maknanya yg hakiki. Ummah tidak menyelami hakikat sebenar Islam. Para pendakwah pula muflis akhlak dan ibadah. Kitalah golongan pendakwah itu. Ibadah kita tidak disertai rasa cinta. Rukuk dan sujud semata-mata tunduk tanpa khusyuk dan tawadhu'. Puasa hanya sekadar berlapar dan dahaga. Bacaan Al-Quran tidak mengalirkan air mata.
Dengan sebab inilah Imam Ghazali mengarang kitabnya Ihya' Ulumiddin. Ummah ketika itu berhajat kepada Islam yg sebenar. Islam secara ruh dan jasad. Ketika Al-Quds berada dalam genggaman tentera Salib, umat Islam pula berada dalam keadaan lemah dan hina. Imam Ghazali sedar penyakit yg menimpa ummah lalu menyediakan rawatan melalui kitabnya, Ihya. Maka lahirlah tokoh sehebat Nuruddin Zinki dan Solahuddin Al-Ayyubi.
Pada hari ini, seorang lelaki berkata dengan penuh semangat, "Keadaan umat tidak akan berubah melainkan dengan kemunculan seorang pemimpin sehebat Solahuddin Al-Ayyubi." [1] Lalu seorang yg pakar dengan ilmu dakwah menjawab, "Kalaulah Solahuddin Al-Ayyubi muncul pada hari ini, tentu beliau akan dijual kepada musuh. Solahuddin Al-Ayyubi tidak keseorangan pada zamannya, bahkan beliau merupakan produk tarbiyyah dan produk masyarakat yg hebat. Daripada masyarakat dan persekitaran inilah, munculnya Solahuddin Al-Ayyubi!"
Masyarakat yg hebat akan melahirkan individu yg hebat. Masyarakat yg bangsat akan melahirkan individu yg bangsat. Rawati ruh kita. Kita rawati masyarakat.
Nasihat
Seorang pendakwah perlu memberi nasihat dan menerima nasihat. Hinakan diri untuk menerima nasihat hatta dari seorang gila di jalanan. Sebelum memberikan nasihat kepada orang lain, hadirkan dalam hati anda bahawa orang tersebut lebih mulia daripada anda. Susah bukan?
Bersedialah untuk sebarang kemungkinan jika dia tidak menerima nasihat anda. Jangan takut kepada celaan orang yg mencela. Dan bersungguhlah untuk menasihatinya lagi. Jangan juga membuatkan orang yg dinasihati berasa dirinya mulia. Kerana jiwa manusia kebiasaannya tidak akan menerima nasihat dalam keadaan merasakan dirinya mulia.
Secara peribadi, saya berpandangan bahawa nasihat atau teguran kepada orang yg melakukan maksiat di jalanan tidak sepatutnya dipanjang-panjangkan. Cukup dengan sekitar 30 saat dan minta izin untuk berlalu pergi. Kerana tujuan asal dia berada di situ bukan untuk mendengar tazkirah anda. Tazkirah yg berjela-jela akan menjemukan dan mengganggunya. Kecuali jika dia yg memohon penjelasan.
Namun, jika anda punya kuasa maka gunakannya bersesuaian dengan keadaannya. Jangan mengiakannya dan jangan melampaui batasnya.
Mengambil manfaat dari setiap yg berfaedah
Kebijaksanaan umpama barang yg tercicir milik orang beriman, sesiapa yg menemuinya dialah yg paling berhak. Setiap perkara yg berfaedah perlu dimanfaatkan walaupun berasal dari bukan Islam.
Pendakwah perlu tahu beza antara mengambil faedah daripada bukan Islam dan tasyabbuh dengan bukan Islam. Pendakwah perlu melihat dengan kacamata syara'. Adakah syara' memujinya atau mengejinya.
Lalu, ambillah faedah daripada bukan Islam sekadar yg diharuskan syara'. Manfaatkan setiap peluang yg melintas di hadapan! Pendapat yg mewajibkan untuk mengambil setiap amalan barat dengan alasan mereka telah mencapai kemajuan adalah pendapat yg batil. Begitu juga dengan pendapat yg mengatakan barat adalah musuh kita maka jangan manfaatkan apa-apa pun daripada mereka.
Niat ikhlas untuk menyampaikan kebaikan kepada semua
Timbul persoalan, "Adakah diri anda berasa suka untuk menyampaikan kebaikan walaupun kepada orang yg menyakiti dan mengutuk anda?" Jika jawapannya, "Ya", maka itu petanda kepada keikhlasan niat anda dalam berdakwah di jalan Allah.
"Adakah dakwah anda umum kepada semua? Atau sekadar kepada mereka yg sehaluan dengan anda?" Jika jawapannya, "Umum kepada semua", maka anda adalah pendakwah yg sebenar.
Pendakwah perlu sentiasa menghadirkan niat di dalam hati untuk menyampaikan hidayah kepada semua. Hatinya tidak boleh sunyi daripada niat ini dalam apa jua keadaannya.
Sabda Baginda, لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." Riwayat Bukhari dan Muslim.
Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata bahawa 'persaudaraan' dalam hadith ini bermakna persaudaraan yg umum iaitu persaudaraan kemanusiaan. Imam Nawawi berkata lagi, "Oleh sebab itu, berdoa hidayah kepada orang kafir hukumnya sunat." Beliau juga berkata, "Yang dimaksudkan dengan mengasihi (dalam hadith ini) ialah menginginkan kebaikan dan manfaat."
Tidak sibuk dengan perkara cabang
Perkara cabang atau furu' yg masih berada dalam ruang lingkup khilaf tidak seharusnya diperdebatkan. Si pendakwah perlu menghayati adab-adab dalam berkhilaf. Kaedah fiqhiyyah menyebut, "Tidak diingkari perkara yg khilaf padanya tetapi diingkari perkara yg telah diijmakkan ke atasnya."
Maka seorang pendakwah mesti membezakan antara dua kategori tersebut. Sekiranya telah diijmakkan sesuatu perkara, maka wajib diingkari perkara yg berlawanan dengan ijmak ini.
Pintu dakwah terbuka luas
Seorang pendakwah perlu tahu bahawa pintu dakwah tidak pernah tertutup. Lapangan dakwah terbentang luas. Pendakwah perlu sedar bahawa pintunya banyak dan dia boleh memasuki melalui mana-mana pintu yg sesuai dengan dirinya.
Jika di dalam penjara sekalipun, dia masih boleh berdakwah. Jika dipenjara seorang diri, maka penjaga penjara merupakan sasarannya. Jika penjaga penjara enggan berbicara dengannya, maka dakwahnya ialah melalui doanya dan melalui senyuman kepada setiap yg memandangnya. Dia hendaklah berniat bahawa keberadaannya di dalam penjara sebagai sebab hidayah kepada orang yg menzaliminya.
Tidak malu, tidak jumud dan berfikiran terbuka
Pendakwah juga tidak boleh malu dalam berdakwah. Abaikan siapa yg berada di hadapan anda. Tugas anda ialah menyampaikan kepada semua. Kawan mahupun lawan. Persetankan ejekan di sekeliling. Berpegang dengan prinsip tetapi tidaklah sehingga jumud dan berfikiran terbuka tetapi tidaklah sehingga menggadai prinsip. Keterbukaan itu hendaklah tidak melepasi orbit Islam.
Pendakwah juga hendaklah bersikap profesional dan mahir dalam menghukum sesuatu perkara. Tidak emosi dan tidak mengikut hawa nafsu.
Asal dakwah, lembut atau keras?
Sesungguhnya asalnya ialah lembut dan keras itu ialah cabangnya. Pendakwah hendaklah menggunakan kelembutan dalam ucapan dan tingkah lakunya. Digalakkan bergurau sekadarnya dan jangan bergurau kecuali dalam perkara yg benar.
Tetapi, dakwah juga berhajat kepada kekerasan dalam sesetengah keadaan. Rasulullah s.a.w. sentiasa bergaul mesra dengan Usamah bin Zaid r.a. Tetapi ketika mengetahui Usamah telah membunuh seorang musuh yg telahpun melafazkan syahadah dan beliau menggunakan alasan bahawa si musuh hanya ingin menyelamatkan diri, Baginda telah menggunakan kekerasan. Baginda berkata kepadanya, "Adakah kamu telah membelah hatinya?" Sehinggakan diketahui isi hatinya...?
Kekerasan dalam dakwah ibarat ubat bukannya makanan. Ilmu psikologi membuktikan bahawa seseorang manusia apabila kerap kali dilayan dengan keras, kasar dan denda, dia akan hilang perasaan rasa bersalah, menjadi lali atau kebal dengan nasihat dan bersikap tidak peduli.
Tetapi jika selalu dilayan dengan lembut lalu ada keadaan yg memaksa supaya dilayan dengan kekerasan, maka digunakan kekerasan, ini akan memberikan kesan yg mendalam terhadapnya. Bahkan penggunaan ubat yg berlebihan tanpa mematuhi disiplin akan mendedahkan pesakit kepada sakit yg lebih dahsyat. Apatah lagi jika pendakwah menggunakan kekerasan sebagai makanan dan bukan sebagai ubat, ini akan menambahkan lagi penyakit orang yg ingin dirawatinya. Sebahagian pula tertipu dengan menganggap kelembutan ialah kelemahan. Jauhilah anggapan keji ini.
Jangan menghina orang
Sebahagian orang yg mengaku pendakwah dikira gagal dalam gerak kerjanya apabila menganggap sebahagian orang langsung tiada manfaat dan faedah kerana sikap buruk yg diamalkannya. Bahkan orang yg mengatakan orang ini atau itu tidak berfaedah sepatutnya bimbang tentang dirinya sendiri, adakah dia seorang yg berfaedah? Adapun jika seseorang melakukan maksiat secara terang-terangan dan berbangga dengannya, maka dibenarkan untuk mengumpatnya.
Untuk perincian, beleklah Ihya Ulumiddin, Kitab Aafaat Al-Lisan. Mudah-mudahan tulisan ini dapat dijadikan pedoman untuk diri ini dan para pendakwah di luar sana.
Kosa kata:
- tasyabbuh = meniru/menyerupai
- khilaf = perbezaan pendapat
- ijmak = kesepakatan para ulama'
- jumud = berfikiran sempit
[1] Ucapan ini diucapkan oleh seorang peserta dalam sebuah muktamar yg dihadiri oleh Habib Ali di Perancis. Lalu, Habib Ali melontarkan pandangannya. (Dengan sedikit edit)
Rujukan:
1- Muqowwamat Ad-Daieyyah, ringkasan pengajian Al-Fikr Ad-Da'wi yg disampaikan oleh Habib Ali Al-Jifri
2- Syarah Al-Arbaien An-Nawawiyyah, karangan Imam Nawawi
0 comments:
Post a Comment